KUALA LUMPUR : Mesyuarat Rasmi Keenam Dialog Damai antara Panel Dialog Damai Kerajaan DiRaja Thailand (PEDP-RTG) dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) yang berlangsung di ibu negara mencapai persetujuan dan pemahaman untuk membentuk Pelan Komprehensif Kerjasama ke Arah Pendamaian (JCPP) sebagai pelan hala tuju untuk 2023-2024.

Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, JCPP ini membentuk satu pelan hala tuju untuk kedamaian bagi komuniti Patani di Wilayah Sempadan Selatan Thailand dan mewujudkan peluang untuk menamatkan konflik.

"Demi mengekalkan momentum, kedua-dua belah pihak akan meneruskan usaha melalui rundingan tertutup dan akan memperincikan butiran pelaksanaan JCPP dalam beberapa siri mesyuarat teknikal yang akan diadakan dalam masa terdekat.

"Malaysia sentiasa komited dalam memudahcara Kerajaan Thailand dan komuniti Patani di Wilayah Sempadan Selatan Thailand untuk menyelesaikan konflik dan menjadi harapan Malaysia agar penyelesaian yang adil, komprehensif dan berkekalan dapat dicapai," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Rasmi Kali Ke-6 Bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand yang berlangsung selama dua hari di sebuah hotel di sini pada Rabu.

BACA: Proses damai di Selatan Thai: Barisan Revolusi Melayu Patani mahukan jaminan keselamatan

Dalam pada itu tegas Zulkifli, Malaysia tidak mempunyai apa-apa agenda tersembunyi dalam memastikan proses dialog damai berjalan lancar.

"Malaysia di sini adalah untuk menjadi fasilitator dan memastikan ada ruang untuk semua pihak mengutarakan sebarang isu dan mengeluarkan jalan penyelesaian," ujarnya.

Pihaknya juga dalam usaha memastikan proses dialog damai antara kedua-dua pihak akan diteruskan pada masa seterusnya.

Kata Zulkifli, beliau akan ke Selatan Thailand pada Isnin depan untuk menghadiri seminar di Prince of Songkla University dan sekali gus bertemu mereka yang berkenaan di Pattani, Narathiwat dan Yala.

"Saya sedia berjumpa sesiapa sahaja di sana (nanti)," ujarnya.

Rundingan antara kerajaan dan pemberontak bermula 2013, namun terhenti berikutan rampasan kuasa tentera di Thailand setahun kemudian.

Rundingan kemudian diteruskan tanpa membabitkan parti utama termasuk Barisan Revolusi Nasional (BRN).

BACA: Peristiwa Tak Bai: Perjuangan menuntut keadilan berbaki dua tahun lagi

BACA: BRN-Bangkok bincang hala tuju Perjanjian Damai Berasaskan Inisiatif Berlin

BACA: Konflik Selatan Thai: Bekas PAT Zulkifli dilantik Ketua Fasilitator Kerajaan